Surah al-Faatihah
1: Surah ini dinamakan “Al-Faatihah” (Pembuka atau yang mula-mula). Ia juga dinamakan “Ummul Qur’an (Ibu Al-Qur’an) dan Ummul Kitab (Ibu Kitab Suci), kerana mengandungi secara ringkas dasar-dasar yang kerananya al-Qur’an diturunkan untuk menerangkannya satu persatu, iaitu;1. Menetapkan wujudnya Allah ‘Azza wa Jalla yang mencipta seluruh alam, sebagaimana yang tersebut dalam firmanya: Alhamdulillah Rabbil ‘Alamiin”.
2. Menyebutkan kesimpulan sifat-sifat al-Jalaal (kebesaran) dan sifat-sifat al-Kamal (Kesempurnaan), sebagaimana yang terkandung dalam firmannya: “ Al-Rahmaan nir Rahiim”.
3. Menyatakan kepada manusia akan hari kiamat yang padanya kelak ia akan menerima balasan amalnya, sebagaimana yang terebut di dalam firmanNya: “ Maalikiy Yaumid Din”. Supaya seseorang itu tidak menumpukan usahanya kepada mencari ni’mat hidup duna dan kelazatannya semata-mata.
4. Menerangkan tugas yang kerananya manusia diciptakan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang tersebut dalam firmanNya: “ Iyyaaka na’budu”. Sebab ibadat itu dengan segala jenisnya tidak dapat tidak diperlukan oleh manusia kerana ia menghidupkan iman, menyihatkan tubuh badan, memperbaiki akhlak dan mensucikan jiwa. Dengan iman yang hidup, tubuh badan yang sihat, akhlak yang baik dan jiwa yang suci, akan berhasillah kebahagian manusia – kebahagiaan perseorangan dan kebahagiaan orang-orang yang sejenis dengannya.
5. Memperkatakan tentang kelemahan manusia, bahawa ia tidak akan dapat melakukan sesuatupun melainkan dengan pertolongan Allah Ta’ala dan izinNya, sebagaimana yang tersebut dalam FirmanNya :”Wa Iyyaaka nasta’in”.
6. Menerangkan bahawa perkara yang utama dihajati dan dipohonkan kepada Allah Ta’ala ialah memperolehi hidayah dan taufik ke jalan yang membawa kebahagiaan, dan cara melaluinya, sebagaimana yang disebut di dalam firmanNya: “Ihdinas siraatal mustaqiim”. Kerana telah sedia ada berbagai jalan yang akan ditempuh, dan cara-cara melaluinya pula banyak, berbilang-bilang dan berlainan, kerana berlainan tabi’at, adat dan hawa nafsu yang beraneka ragam.
7. Mengarahkan manusia kepada memerhati dan memikirkan kisah-kisah umat manusia yang telah lalu dan hal ehwalnya, supaya ia memilih akan apa yang menyebabkan kebahagiaan mereka, dan berjaga-jaga serta menjauhkan diri dari apa yang menyebabkan kecelakaan mereka, sehingga dapatlah ia hidup di dunia ini dalam keadaan yang selamat, dan berjaya mendapat ni’mat yang kekal pada hari akhirat kelak dalam syurga “Daaru’s-Salaam”.Surah ini juga dinamakan “As-Sab’ul Mathaani” (Tujuh ayat yang diulang-ulang) dalam sembahyang yang berbilang rakaat. Atau (tujuh dasar yang diulang-ulang) huraiannya di dalam al-Qur’an.Rasulullah (s.a.w) pernah menyatakan kelebihan surah ini dengan sabdanya yang bermaksud: ‘Tidak ada di dalam kitab-kita yang telah diturunkan oleh Allah satu surah yang sama kelebihannya seperti Ummul Qur’an’.Demikianlah kelebihan surah al-Fatihah yang diwajibkan kepada orang yang mengerjakan sembahyang membacanya. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam jika ia tidak musafir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan