Ziarah ini dilakukan pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam takwim Islam. Disebabkan takwim tersebut merupakan kalendar qamari dan ia mengandungi 11 hari kurang berbanding kalendar Gregory, maka hari pelaksanaan haji mengikut tarikh Gregory sering berubah dari tahun ke tahun.
Perkataan "haji" berasal daripada bahasa Arab iaitu hajj (حج) yang membawa maksud ziarah ke tempat tertentu dalam waktu yang lama untuk menunaikan kewajipan agama. Dalam segi bahasa itu juga, haji boleh membawa maksud menuju kepada Allah Yang Maha Agung. Dari segi syarak pula, ia membawa maksud mengunjungi rumah Allah dalam bulan-bulan haji atas sebab melakukan pekerjaan seperti wukuf di Arafah, tawaf, sa'i dan sebagainya menurut syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu dengan niat semata-mata kerana Allah.
Dalil
Terdapat beberapa dalil mengenai ibadah haji. Antaranya adalah seperti dalam ayat ke-27, Surah al-Hajj dan ayat ke-97, Surah Ali Imran:
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ — Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)
فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ — Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadah haji dengan mengunjungi rumah Allah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya daripada sekalian alam.
Sejarah
Zaman Nabi Ismail
Selepas kelahiran Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim dan isterinya, Siti Hajar, baginda dan ibunya telah dibawa ke sebuah kawasan padang pasir gersang dan kosong di tengah-tengah Semenanjung Arab. Hajar telah mengikuti suaminya dan berkata, "Oh, Ibrahim, ke manakah kamu hendak pergi, meninggalkan kami di lembah yang tiada orang ini dan tiada peneman dan tiada apa-apa disini?". Beliau mengulangi kenyataan tersebut dan akhirnya beliau bertanya adakah ini semua adalah suruhan Allah. Lalu Nabi Ibrahim mengiyakannya dan meninggalkan mereka berdua di situ dengan hati yang berat. Lalu baginda berdoa seperti yang tercatat dalam ayat ke-37, surah Ibrahim iaitu:Setelah berada di kawasan itu untuk beberapa ketika, Hajar dan Nabi Ismail telah kehabisan makanan dan minuman. Kemudian, Hajar telah lari berulang-alik dari bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali untuk mencarinya. Perbuatan beliau menjadi simbolik kepada ibadah sa'i yang dilakukan dalam haji. Dalam keadaan terdesak itu, beliau berdoa kepada Allah. Nabi Ismail kemudiannya menangis dan menghentak-hentak kakinya ke tanah lalu terpancutlah air dari bawah tanah (sesetengah versi mengatakan malaikat telah menggali kawasan air tersebut dengan kakinya (atau sayapnya) dan keluarlah air itu). Perisitiwa itu menandakan kemunculan telaga Zam-zam seperti yang dilihat pada hari ini.رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ — Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah tempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada padanya tanaman, disisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dan pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
Zaman Nabi Muhammad
Persediaan
Syarat
Keempat-empat mazhab dalam fahaman Ahli Sunnah Waljamaah iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan mazhab Hambali menetapkan bahawa syarat-syarat menunaikan haji adalah seperti berikut:- Beragama Islam. Haji tidak diwajibkan kepada orang bukan Islam dan jika dilakukan, hajinya adalah tidak sah.
- Merdeka. Golongan hamba sahaya tidak wajib melakukan haji.
- Baligh. Haji adalah tidak wajib bagi kanak-kanak dan haji mereka itu sah jika dia telah mumaiyiz. Walau bagaimanapun, kefarduan haji kanak-kanak itu masih belum terlepas melainkan dilakukan setelah baligh.
- Berakal. Orang yang gila tidak diwajibkan untuk mengerjakan haji dan jika ia dilakukan, maka hajinya tidak sah.
- Berkemampuan. Bagi syarat ini, terdapat beberapa bahagian yang perlu dipatuhi seperti:
- 1. Berkuasa membayar semua perbelanjaan haji sehingga selesai.
- 2. Mempunyai kenderaan untuk pergi dan balik daripada haji.
- 3. Mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya.
- 4. Keadaan perjalanan hajinya adalah aman daripada sebarang kekacauan.
- 5. Tidak mengalami sebarang masalah semasa berada dalam kenderaan.
Rukun
Rukun haji merupakan suatu amalan asas yang mesti ditunaikan. Jika rukun-rukun haji tidak dilakukan, maka hajinya adalah tidak sah dan ia wajib digantikan. Rukun-rukun haji adalah seperti:
- Niat ihram haji.
- Lafaz niat haji hendaklah dilakukan di miqat dan jika jemaah haji sudah berada di kawasan Makkah, maka niat boleh dilafaz di kawasan itu sendiri. Selepas niat, para jemaah wajib menjaga segala amalan mereka terutamanya berkaitan amalan wajib dan larangan semasa dalam melakukan haji.
- Wukuf di Arafah.
- Melakukan tawaf rukun (tawaf ifadhah)
- Sa'i, yakni lari-lari ayam atau berjalan cepat di antara bukit Shafa dan Marwah.
- Mencukur/menggunting rambut. Paling sedikitnya memotong tiga helai rambut.
- Tertib, yakni menjalankan rukun haji secara berurutan.
Jenis
Ibadat haji terbahagi kepada tiga jenis iaitu:- Haji Ifrad: Ifrad bermaksud "berasingan". Manakala haji ifrad pula bermaksud melakukan haji dan umrah secara berasingan di mana umrah tidak dilakukan dalam bulan haji. Haji jenis ini tidak dikenakan dam.
- Haji Tamattuk: Tamattuk bermaksud "bersenang-senang". Haji tamattuk membawa erti umrah dilakukan dahulu pada bulan haji. Haji dilakukan kemudian ketika tiba masanya untuk menunaikan haji. Haji jenis ini dikenakan dam.
- Haji Qiran: Qiran bererti "bersama-sama". Maksud haji qiran adalah melakukan haji dan umrah secara serentak. Haji jenis dikenakan dam dan dilakukan oleh kalangan jemaah haji yang tiba lewat pada waktu haji (7 dan 8 Zulhijjah).
Dam
- Dam tertib dan takdir
- Dam tertib dan ta'dil
- Dam takhyir dan ta'dil
- Dam takhyir dan takdir
Haji Mabrur
Haji mabrur bermaksud haji yang diterima. Ibn Kholawaih mentakrifkan al Mabrur sebagai al Maqbul iaitu "diterima". Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan oleh Imam Nawawi dengan pendapat tersebut (tidak bercampur dosa)
Apabila merujuk kitab hadis yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meriwayatkan hadis-hadis daripada Abu Hurairah dan Aisyah tentang kelebihan "Haji Mabrur", Manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab "Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan".Cara mencapai haji mabrur
Secara umumnya, untuk mencapai haji yang diterima disisi Allah hendaklah memenuhi kriteria berikut;- 1: Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riyak (menunjuk-menunjuk).
Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riya’ iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan ALlah
Di dalam Musnad Ahmad, ada sebuah hadith:
“Sesiapa yang keluar dari rumahnya, pada tangannya ada dua bendera, satu bendera pada malaikat dan satu bendera pada syaitan, jikalau dia keluar dengan niat kerana Allah, malaikat akan mengekorinya bersama bendera tadi, maka bendera tadi masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya, dan jikalau dia keluar dari rumahnya melakukan kemurkaan kepada Allah, maka syaitan akan mengekorinya bersama benderanya, dan bendera tersebut masih bersamanya sehingga dia kembali ke rumahnya”
- 2: Kesemua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin megikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat alQuran
“Wahai sekalian Rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan [Surah alMukminun : 51]”
Kemudian Rasulullah membacakan lagi :
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” [Surah alBaqarah 172]
Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata “Ya Tuhanku” sedangnya punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima??”
Oleh itu, sewajarnya sebagai seorang yang akan menunaikan haji meneliti dan bermuhasabah kembali sumber-sumber pendapatan, perbelanjaannya dan bekalannya disana dari sumber-sumber yang halal.
- 3: Melakukan fardhu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
Ini sesuai dengan sabda Baginda;
“Sesiapa yang memperbaharui urusan agama (menokok tambah), maka mereka bukan dari kalangan kami (umat Muhammad)”
Syeikh Mustafa azZarqa’ ketika ditanya makna haji yang mabrur, beliau menyatakan diantara ciri-ciri hajinya diterima ialah “hendaklah bagi tuan empunya yang menunaikan haji tidak melampau-lampau didalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah”
- 4: Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya
Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.
- 5- Setelah menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah : Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita tersebut : Ya. Sabda Nabi : Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)”.
Didalam hadith yang lain:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas hamba-hambanya menunaikan haji. Bapaku seorang yang tua tidak mampu pergi bermusafir (ke Mekah), adakah aku perlu menunaikan haji untuknya? Sabda Rasulullah : Ya” .
Bumi Makkah
Menurut riwayatnya, ramai para sahabat menyatakan bahawa bumi Makkah adalah yang pertama sekali muncul dari air selepas penciptaannya dan daripadanya bumi-bumi lain terbentang dan terhampar. Keistimewaan yang terdapat di Makkah ialah Masjidil Haram.Keistimewaan Masjidil Haram pula ialah kerana Kaabah atau Baitullah, yang menjadi kiblat bagi umat Islam.
Baitullah adalah sebuah bangunan yang hampir-hampir empat persegi. Tingginya 15 meter dan luasnya lebih kurang 120 meter persegi. Bangunan ini terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Di salah satu penjuru Kaabah ini terdapat Hajarul Aswad yang menjadi tempat permulaan untuk mengerjakan tawaf.
Makam Ibrahim
Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.
Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.
Hajar Aswad
Telaga Zam Zam
Telaga Zam-Zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail a.s. dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim a.s.) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).
Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.
Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.
Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
"Hendak kemanakah engkau Ibrahim?" "Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? "
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.
Siti Hajar bertanya lagi;
"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".
Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu.
Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit Safa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.
Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibrail dan Jibrail mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".
Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban
Tiada ulasan:
Catat Ulasan