Azan dan Iqamat
Azan (أَذَان) adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh penganut agama Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardu supaya orang-orang Mukmin boleh diseru supaya bergesa berkumpul untuk mengerjakan solat fardu. Iqamat bermaksud sebutan tertentu untuk memberitahu para jemaah untuk mula mengerjakan solat.
Latar belakang
Dari segi bahasa, azan bermaksud ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Azan ialah suatu gabungan perkataan-perkataan tertentu untuk menandakan waktu solat fardu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu solat. Penandaan ini dibuat dengan melaungkan dengan lafaz-lafaz tertentu.Hukum
Hukum melaungkan azan adalah sunat muakkad ketika hendak mendirikan sembahyang fardhu. Melaungkan azan juga adalah satu Fardu Kifayah bagi sesuatu kumpulan, dan tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan satu sunat aini atau, dan pahala sunat akan diperolehi apabila seseorang itu melakukannya. Bagi kaum wanita, disunatkan melakukan Iqamat sahaja kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah apabila meninggikan suara mereka.Dalil
Al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijmak menyatakan melaungkan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada Al-Quran ialah Firman Allah SWT yang bermaksud:“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah: 58)
Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadis. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sejarah
Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah.Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar RA. “Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.
Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah (kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani (Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah tetapi baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.
Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.
Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s. Maka Allah SWT menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.
Adab dan tertib Azan dan Iqamat
Lafaz azan terdiri daripada lima belas kalimah. Ia dilaungkan sebanyak dua kali bagi setiap lafaz kecuali Takbir pada awal azan disebut sebanyak empat kali dan lafaz kalimah tauhid hanya sekali sahaja.Sebutan | Bahasa Arab | Transliterasi | Terjemahan |
---|---|---|---|
4x | الله اكبر | Allah u Akbar | Allah Maha Besar |
2x | اشهد ان لا اله الا الله | Ash-hadu allā ilāha illallāh | Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah |
2x | اشهد ان محمدا رسول الله | Ash-hadu anna Muhammadan rasūlullāh | Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah |
2x | حي على الصلاة | Hayya 'alas-salāt | Marilah menunaikan solat |
2x | حي على الفلاح | Hayya 'alal-falāh | Marilah merebut kemenangan |
2x | الصلاة خير من النوم | Aṣ-ṣalātu khayru min an-naūm | Solat itu lebih baik dari tidur* |
2x | الله اكبر | Allāhu akbar | Allah Maha Besar |
1x | لا اله الا الله | Lā ilāha illallāh | Tiada Tuhan selain Allah |
Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki Muslim yang berakal. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja untuk semua kariah, dan tidak boleh dibuat berulang kali untuk kariah yang sama. Azan hendaklah dilafazkan dalam Bahasa Arab.
Azan dilaungkan ketika masuk waktu solat melainkan pada waktu Subuh. Waktu Subuh mempunyai dua azan di mana Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu iaitu bermula waktunya selepas berlalu separuh malam untuk memberitahu Muslimin bahawa waktu Subuh sudah hampir. Azan kedua dikumandangkan ketika masuk waktu Subuh.
Untuk Solat Jumaat, azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama untuk menandakan masuk waktu Zuhur untuk memanggil orang-orang Muslim ke masjid dan kali kedua dikumandangkan sejurus sebelum Imam memulakan Khutbah Jumaat. Iqamat dilafazkan selepas imam selesai membaca khutbah, dan sebelum imam mengangkat Takbir Jumaat.
Sunat Azan
Orang yang melaungkan azan (muazzin) mestilah suci daripada hadas kecil, hadas besar dan najis. Beliau juga hendaklah menghadap kiblat ketika mengumandangkan azan. Azan sunat dilafazkan oleh muazzin yang baik dan merdu suaranya serta nyaring. Azan hendaklah dinyaringkan biarpun didengar oleh salah seorang daripada jemaah ketika sembahyang berjemaah. Sekiranya tidak menggunakan pembesar suara, azan hendaklah dilaungkan di tempat yang tinggi. Penggunaan pembesar suara di merata tempat memaafkan perbuatan ini. Azan juga sunat dilakukan berdiri kecuali jika ada uzur.Ketika muazzin membaca “hayya `ala as-salah”, muazzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri. Juga disunatkan melakukan tarji‘ semasa azan iaitu menyebut dua kalimah syahadah secara senyap sebelum dinyaringkan.
Disunatkan juga muazzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya dengan tujuan untuk meninggikan suara. muazzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan. Orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh muazzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.
Azan itu hendaklah dilakukan dengan Tertib dan Muwalat di antara lafaz azan dan Iqamat.
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarh Sahih Muslim menyebut lebih .
"Dan ketahuilah bahawasanya disunatkan menjawab seruan muazzin sepertimana laungannya bagi setiap orang yang mendengarnya samaada yang berada dalam keadaan suci atau berhadath atau berjunub atau seorang perempuan yang Haid dan selain mereka dari kalangan orang yang tidak dilarang untuk menjawabnya. Adapun antara sebab larangan dari menjawab azan ialah jika berada di dalam tandas atau ketika sedang berjimak dengan pasangannya atau seumpama dengannya..."
Doa selepas Azan
Setelah selesai azan, doa berikut adalah sunat dibaca oleh muazzin dan penganut Muslim lain yang mendengar azan:اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة
Wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan,
آت محمداً الوسيلة و الفضيلة
Datangkanlah Nabi Muhammad (kepadaku) sebagai penghubung (kepada Allah) dan keutamaan (bagiku),
وابعثه مقاماً محموداً الذي وعدته
Serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya.
(Riwayat Imam Bukhari).
Iqamat
Lafaz Iqamat mempunyai sebelas kalimah. Lafaz Iqamat adalah seperti berikut:Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, | الله اكبر الله اكبر | āllahu ākbar, āllahu ākbar |
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, | اشهد ان لا اله الا الله | āsh'hadu ān lā ilaha illā-llah |
Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah, | اشهد ان محمد رسول الله | āsh'hadu ānna mūhammadā rasūlu-llah |
Marilah menunaikan solat, | حي على الصلاة | hayyā `alā-s-salat |
Marilah merebut kemenangan, | حي على الفلاح | hayyā `alā-l-falāh |
Berdiri untuk sembahyang, (dua kali) | قد قامت الصلاة | qad qāma tis-salaat |
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, | الله اكبر الله اكبر | āllahu ākbar, āllahu ākbar |
Tiada tuhan selain Allah | لا اله الا الله | lā ilaha illā-llah. |
Azan Dan Iqamat untuk tujuan selain sembahyang
Selain untuk tujuan sembahyang, azan dan Iqamat juga sunat dilakukan untuk beberapa perkara lain: Azan juga sunat dibisikkan ke telinga kanan kanak-kanak (lelaki/perempuan)yang baru lahir, begitu juga sunat diiqamatkan pada telinga kiri. Ini adalah kerana Nabi Muhammad telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.Azan juga digunakan sebagai isyarat untuk memaklumkan umat pada waktu mudarat ataupun bahaya seperti kebakaran ataupun waktu perang. Azan juga sering dilaungkan dalam keadaan gangguan dirasuk jin atau Syaitan.
Azan sebelum Subuh
Nabi bersabda yang bermaksud: 'Bilal akan melaungkan azan di sebelah malam, maka makanlah dan minumlah hingga Ibnu Ummi Maktum pula yang azan.'lni bererti ketika 'Bilal melaungkan azan, harus bagi orang Islam bersahur, makan dan minum sehinggalah lbnu Ummi Maktum melaungkan azan menandakan masuk waktu sembahyang.
Dalam azan yang pertama disunatkan agar tidak menyebut الصلاة خير من النوم 'sembahyang itu lebih baik daripada tidur.' Ini adalah satu perbezaan yang penting yang dapat membezakan di antara azan yang pertama dan azan yang kedua. Azan dalam bentuk ini disyaratkan pada waktu fajar dan orang ramai akan kenal suara azan pertama dan suara yang lain pada azan kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan